counter

Wednesday 12 March 2014

Jangan tuding jari salahkan sesiapa, kata Tun M

Jangan tuding jari salahkan sesiapa, kata Tun M


PUTRAJAYA:
Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta semua pihak supaya tidak menuding jari menyalahkan sesiapa berhubung kehilangan pesawat MH370 kerana ia tidak membantu merungkaikan misteri insiden itu.Katanya, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan beliau percaya pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik untuk mengesan pesawat yang hilang sejak awal pagi Sabtu lepas.
"Perkara itu (tuding-menuding) tidak akan menyelesaikan masalah," katanya semasa ditemui selepas bertemu dengan keluarga penumpang pesawat MH370 yang ditempatkan di Hotel Everly di sini pada petang Isnin.

Beliau diiringi oleh isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan anak, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah bersama menantunya, Datin Seri Norzieta Zakaria.

Menurut Dr. Mahathir, terserahlah kepada pihak berkuasa untuk menentukan soal tahap keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penggunaan pasport curi untuk menaiki pesawat malang itu.

Menteri Dalam NegeriDatuk Seri Ahmad Zahid Hamidipada Ahad mempersoalkan bagaimana pegawai imigresen di KLIA tidak membuat pemeriksaan yang teliti sehingga boleh melepaskan dua penumpang yang menggunakan pasport curi.

"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Menurut Ahmad Zahid, satu siasatan dalam terhadap Jabatan Imigresen telah dimulakan oleh sebuah pasukan khas yang diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat.


Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam,Datuk Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Isnin malam menegaskan siasatan ke atas rakaman visual pergerakan dua penumpang misteri itu menunjukkan semua protokol keselamatan di KLIA telah dipatuhi.

Oleh itu, siasatan pihak berkuasa berhubung dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 itu kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pemalsuan pasport.

Beliau juga mengesahkan, selepas meneliti rakaman dan foto, dua penumpang berkenaan bukan lelaki Asia.


Sementara itu, Mukhriz memberitahu beliau bertemu dengan empat keluarga mangsa yang berasal dari Kedahdan menyampaikan rasa simpati serta sokongan moral kepada mereka.

"Saya dapat bayangkan betapa sukarnya... mereka meluahkan perasaan bahawa amat sukar menunggu begitu lama tetapi maklumat yang diperoleh cuma sedikit.

"Mereka juga menyatakan tidak mahu menerima maklumat palsu yang membuahkan harapan namun akhirnya kecewa setelah harapan itu tidak menjadi kenyataan.

"Harap-harap mereka yang menggunakan media sosial lebih sensitif dalam perkara ini," katanya.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat. Ia sepatutnya dijadual tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.

No comments:

Post a Comment